Brabus bukanlah satu nama asing yang perlu diperkenalkan dalam industri pemotoran. Dikenali kerana menghasilkan kenderaan mewah yang berprestasi tinggi, jenama itu terus kukuh dan semakin berkembang sejak ia mula diasaskan oleh Prof. h.c Bodo Buschmann yang juga Ketua Pengawai Eksekutif syarikat itu di Bottrop, Jerman pada 1977.
Kini syarikat itu antara pengeluar utama kenderaan berprestasi terbesar di dunia dengan kualiti penalaan kenderaan selepas pasaran khususnya bagi jenama Mercedes-Benz, Smart dan Maybach.
Fokus utama Brabus untuk memaksimumkan prestasi enjin dengan meningkatkan kuasa kuda dan torknya di samping melakukan pengubahsuaian kenderaan mengikut cita rasa pelanggan.
Ia menawarkan pengubahsuaian ringan bermula daripada pemasangan spoiler, bodykit dan rim aloi multi-piece sehingga ke peringkat meningkatkan prestasi kenderaan seperti pemasangan LSDs, sistem ekzos perlumbaan dan pemetaan enjin.
Jika diukur prestasi enjinnya, ia bermula dari serendah 200 kuasa kuda (150 kW) blok K4 untuk model SLK Roadsters dan CLK-Class sehingga ke 730 kuasa kuda (540 kW) blok turbo berkembar bagi model CL-Class, CLS-Class, G-Class dan S-Class.
Dalam tempoh lebih tiga dekad, Brabus terus mencatatkan kejayaan yang membanggakan termasuk memegang rekod kenderaan terpantas bagi kategori sedan, coupe dan SUV selain terus kekal pada kedudukan itu tanpa sebarang saingan.
Di Malaysia, jenama itu mula bertapak sejak tahun 2001 melalui usaha sama syarikat Naza-Brabus Motor Sdn. Bhd. sebagai pengedar tunggal termasuk di Singapura dan kini mempunyai dua cawangan yang terletak di Petaling Jaya dan Bangsar.
Baru-baru ini, Brabus diundi sebagai jenama penalaan kenderaan terbaik dan popular oleh majalah kereta terkemuka Jerman, auto motor und sport bagi tahun kelima berturut-turut sejak tahun 2006.
Undian itu disertai hampir 100,000 orang pembaca dan dalam tinjauan yang dilakukan, keupayaan jenama itu sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi apabila mendapat 49.2 peratus undi.
Kejayaan itu membolehkan syarikat tersebut mendapat gelaran sebagai Jenama Terbaik 2010 dalam kategori Syarikat Penalaaan Kenderaan.
"Kejayaan kali kelima ini mengesahkan falsafah Brabus dalam membangunkan dan membina kenderaan berprestasi tinggi yang eksklusif di samping penalaan komponen-komponen utamanya," kata Buschmann.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin juga mengalu-alukan penghormatan yang diberikan terhadap Brabus.
"Ini membuktikan kejayaan Brabus dan sebagai pengiktirafan bahawa jenama itu semakin diterima ramai. Ia menunjukkan komitmen jenama ini dalam memenuhi kehendak para peminatnya," katanya.