:: Exchange Link ::

Thursday, August 19, 2010

Parah Dilibas Suami

JOHOR BAHRU: Gara-gara meminta suami memulangkan motosikal pemberian majikan dan menyuruhnya membaiki motosikal milik sendiri, seorang wanita parah dilibas lelaki berkenaan dengan sebatang kayu beluti.


Berikutan pukulan kuat itu, mangsa terus rebah sambil menggelupur kesakitan sebelum dikejarkan ke hospital berikutan retak tulang belakang.

Difahamkan, sebelum kejadian si isteri menegur sikap suaminya yang membiarkan motosikal miliknya selepas rosak, selain mengungkit masalah kewangan keluarga dihadapi.

Nyata teguran berkenaan membangkitkan kemarahan suami sehingga lelaki berkenaan mengambil kayu penyendal tingkap di dapur, sebelum meluru dan terus melibas isterinya dengan kayu. 



RETAK...mangsa menunjukkan kesan pukulan dengan kayu beluti di belakang badan menyebabkan tulangnya retak.


Menceritakan kejadian dialaminya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berkata dia bersyukur kerana libasan kayu berkenaan tidak mengenai kepalanya berikutan sempat bangun dari kerusi yang diduduki.

“Ini bukan kejadian pertama saya dibelasah suami tapi ia sudah menjadi habuan rutin setiap kali menjelang Aidilfitri. Namun, mengenangkan kehidupan dua anak yang masih kecil, saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis,” katanya sebak. 

Menurut wanita berkenaan, kejadian itu turut disaksikan bapa mentuanya yang sudah uzur manakala anak-anak pula tiada di rumah kerana keluar bermain.

“Saya tak sangka teguran berhubung motosikal itu menyebabkan suami sanggup memukul saya seteruk ini, sedangkan niat sebenar hanya untuk berbincang secara baik. 

“Saya menyuruh suami memulangkan motosikal pemberian majikannya kerana berasakan ia tidak perlu kerana kami sudah mempunyai motosikal dan kereta sendiri,” katanya yang meminta identitinya dirahsiakan.

Menurut wanita itu, dia bimbang kebajikan anak-anaknya terabai berikutan suami tidak mempunyai pendapatan lain kecuali gaji sebanyak RM400 hasil bekerja di ladang sawit.

“Saya sudah berhenti berniaga dan kami anak beranak bergantung hidup pada pemberian suami sebanyak RM200 setiap bulan. Wang itu digunakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Zahaliman Jamin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pukul membabitkan sepasang suami isteri di Batu 35 1/2, Kampung Kelapa, di sini.

“Kejadian berlaku Isnin lalu dan mangsa seorang wanita berumur 40 tahun mendapat kecederaan teruk di bahagian tulang belakang akibat dipukul suaminya yang berusia 48 tahun menggunakan kayu beluti.

“Berikutan kecederaan itu, wanita berkenaan dikejarkan ke Hospital Pontian sebelum dipindahkan ke HSA untuk rawatan lanjut,” katanya.

Zahaliman berkata, suspek berjaya ditahan bersama barang kes di rumahnya dan dikenakan perintah reman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata,” katanya.
Related Posts with Thumbnails